Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Segala puji bagi Allah SWT., Tuhan sekalian alam. Syukur ke hadrat-Nya atas limpah kurnia dan rahmat-Nya, saya diberi amanah untuk menerajui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sebagai sebuah entiti strategik, PLiMJI memainkan peranan utama dan pemangkin strategik dalam usaha menghubungkan kepakaran akademik dan para pentadbir dalam mempertemukan keperluan industri dan aspirasi komuniti ke arah membentuk jaringan yang kukuh dan berimpak. Melalui pendekatan ini, PLiMJI beraspirasi untuk menjadi perantara yang dinamik dalam mempertemukan kepakaran akademik dan para pentadbir dalam memenuhi keperluan industri dan keharmonian komuniti untuk memperkasakan kerjasama bersepadu yang bukan sahaja melibatkan penyelidikan dan perundingan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui program libatsama masyarakat yang berteraskan skop ‘Pemindahan Ilmu’ (Knowledge Transfer).

Sebagai perantara, PLiMJI berperanan menjalin sinergi antara universiti dan industri, membuka peluang kolaborasi melalui inisiatif seperti mengadakan perundingan dan kolaborasi bersama pihak industri dalam menyelesaikan pemasalahan dan isu yang dihadapi oleh pihak industri dan seterusnya memeterai ikatan melalui Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA), dan penglibatan subject matter experts (SME) USIM dalam pelbagai bidang. Selain itu, pengurusan program CEO@Faculty yang diterajui kami di bawah mandat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi landasan penting dalam memupuk kerjasama yang lebih erat antara pemimpin industri bersama akademia dan pelajar. Dalam ruang lingkup menyantuni masyarakat pula, PLiMJI memberi tumpuan kepada pelaksanaan program Knowledge Transfer bersama komuniti. Usaha ini direalisasikan melalui kerjasama erat dengan badan kerajaan, sektor swasta, NGO dan pelbagai pihak berkepentingan. Kami percaya bahawa setiap hubungan yang dibina membawa makna besar dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik.

PLiMJI percaya bahawa usaha “connecting the dots” ini dapat menghubungkan pelbagai titik kekuatan dan peluang antara universiti, industri dan masyarakat, sekali gus membentuk jaringan kolaborasi yang lebih mantap. Usaha ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan reputasi USIM sebagai universiti yang memacu kecemerlangan akademik, menyokong pembangunan negara dan memberi manfaat kepada ummah. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong misi dan visi PLiMJI. Semoga segala usaha kita bersama ini sentiasa diberkati Allah SWT dan menjadi asas kepada pencapaian matlamat yang lebih besar.

Sekian, terima kasih.
Wassalam.

DR. HAMMAD FARHI MOHD SAUDI

Pengarah
Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI)
Universiti Sains Islam Malaysia